CTHB
"Kau tahu punca kekalahan kau? Kerana kau takut mati. Kerana kau harus melindungi. Kau harus menunaikan janji." Penjahat memulakan syarahan percumanya kepada Pembaik.
"Aku...aku takut mati? Karut! Biar putih tulang jangan putih mata. Aku tidak pernah takut mati!" Balas Pembaik menafikan tuduhan Penjahat.
"Pembaik, kau takut mati kerana kau harus melindungi,". Sambung Penjahat.
"Aku harus melindungi? Apa maksudmu?" Soal Pembaik mula kehairanan dan ingin tahu.
"Ya, kerana kau mencintai. Kau berjanji akan kembali ke pangkuan kecintaanmu, kekasih hatimu, kerana kau mencintai. Kerana itulah kau takut mati!" Tempelak Penjahat seperti seorang penjahat lagaknya.
"Hahaha...haha...ha. Lucu. kau sudah tersilap Penjahat. Kerana aku mencintai maka aku harus kembali. Aku harus kembali kerana aku telah berjanji. Kerana itu, aku tidak boleh kalah atau mati!" pantas Pembaik berguling mengambil jarak dan bangkit semula bersedia menentang Penjahat. Penjahat kelihatannya tidak mengambil kesempatan itu untuk menyerang malah memberi peluang kepada Pembaik bersedia memperbaiki kuda-kudanya.
"Heheh, kalau begitu buktikan padaku. Adakah katamu itu benar atau hanya penyedap hati. Lihat sahaja keadaanmu sekarang, adakah kau sedar kau sedang tewas? Kalau aku patahkan kedua kakimu bagaimana kau akan kembali? Hahahahaha," gelak Penjahat seperti gelaknya seorang penjahat.
Namun sebaik sahaja dia ingin menerpa ke arah Pembaik, dia telah ditahan oleh isyarat tangan Pembaik.
"Tunggu dulu. Kalau cinta adalah punca kekuatanku, apakah pula punca kekuatanmu?" Soal Pembaik. Tidak diketahui apakah soalannya ikhlas ingin tahu atau sekadar mahu mengambil kesempatan mengatur pernafasan dan memulihkan tenaga yang kehauasan, namun yang pasti ia telah memberi kesan kepada Penjahat yang tanpa diduga berlaku baik dan berhenti menyerang.
"Hahahaha...aku sangka kau ini bodoh dan lurus bendul. Rupanya kau juga ingin mengorek rahsia kekuatanku!" Penjahat ketawa bangga, seolah-olah mendedahkan rahsia kekuatannya adalah suatu langkah bijak dalam pertempuran. Namun dia adalah penjahat, dan penjahat harus berasa bangga dengan kekuatan mereka. Itu yang dipegang oleh Penjahat.
"Pembaik, aku percaya sumber kekuatanku adalah jauh lebih hebat daripada cinta. Ia dinamakan Kemusnahan!" Bangga sekali Penjahat menerangkan.
"Tidak, ia sebenarnya adalah benci. Kebencian membawa kepada kemusnahan," Pembaik cuba memperbetulkan penerangan Penjahat.
"Kebencian kau kata? Hahahaha sungguh bermakna sekali pertarungan kita pada hari ini. Ia bukan sekadar pertarungan antara kau dan aku, Penjahat dan Pembaik, tetapi antara cinta dan benci. Tuhan masih merahmati aku," Tiba-tiba sahaja Penjahat teringatkan Tuhan, tidak seperti kebiasaan penjahat-penjahat biasa. Sudah pasti Penjahat ialah seorang penjahat yang istimewa.
"Penjahat, aku yakin cinta tidak akan tewas kepada benci. Perjuangan kau hanyalah sia-sia kerana sudah beratus-ratus tahun novel, filem dan cerita-cerita ditulis, semuanya memihak kepada cinta dan kasih sayang. Memenangkan keadilan dan percintaan. Penjahat, peluangmu untuk menang sangat tipis sekali! Lebih baik kau bertaubat dan kembali ke jalan yang benar," Nasihat Pembaik kepada Penjahat dengan nada yakin. Dia yang memperjuangkan keadilan dan percintaan tidak pernah terfikir untuk tewas kepada kebencian dan kemusnahan.
"Pembaik..Pembaik...kau sudah berulang kali tersilap, namun aku masih bermurah hati untuk membetulkanmu. Pembaik, inilah jalanku yang benar, dan jalan yang akan membawaku kemenangan!" Serentak dengan itu Penjahat menetakkan parangnya ke arah Pembaik.
"Pembaik, rasalah kehebatan Parang Hati Musnah ini. Kau pasti akan menyukainya di alam baka nanti."
Namun serangan demi serangan dari Penjahat berjaya dielak dan ditangkis oleh Pembaik dengan senjata istimewanya Sarung Waja Hitam.
No comments:
Post a Comment