"Kau ingin pergi dari pulau ini...". Tok Tereng berkata selamba.
Awang tercengang seketika, lantas memandang ke muka Tok Tereng seolah-olah mencari kepastian.
Namun tidak lama, dia merenung semula ke arah unggun api di depannya.
"Kenapa ayah berkata begitu?", soal Awang pendek.
"Kau mengumpulkan kayu api yang mencukupi untuk empat musim dingin. Ayah terfikir mahu menjualnya pada jiran-jiran!", sempat Tok Tereng berseloroh, namun Awang tidak berminat untuk senyum atau ketawa.
"Musim dingin kemungkinannya lebih panjang...", balas Awang, mahu mengelak tuduhan.
"Hahahahaha...kemungkinannya? Awang? Jawapan kau hanya ada dua jawapan. Satu, kau tidak yakin sama sekali apakah musim dingin akan datang panjang atau tidak...Kau hanya bermain kata seperti biasa, tanpa menetapkan pendirian kau. Seperti biasa."
Tok Tereng menempelak Awang dengan jawapannya yang samar-samar, namun tidak meneruskan kata-katanya, sebaliknya memancing Awang untuk mencelah.
"Dan yang kedua?", soal Awang, dengan mudah sekali termakan pancing ayah angkatnya yang sudah lama makan garam.
"Kau ingin pergi dari pulau ini...". Tok Tereng mengulang semula perkataannya di awal bicara.
No comments:
Post a Comment