Tuesday, May 22, 2012

Maslow's hierarchy of needs


KEINGINAN MANUSIA

              “Kau kelihatan sukar memulakan.” Tok Tereng segera memecah kesunyian malam yang diterangi unggun api di depan mereka.”Dan seperti biasa, kau mahu bertanya soalan-soalan yang kau tidak berupaya mendapatnya dari buku-buku.”
              “Ayah tidak pernah gagal membaca fikiranku,” balas Awang sambil memuji ayah angkatnya. Namun Tok Tereng tidak semudah itu menelan pujian Awang. “Awang, setiap kali kau mahu berbicara dengan ayah, kau nyalakan unggun api seperti ini dan bermain-main dengan ranting dan api. Niat kau ini terlalu mudah dibaca.”
              Awang berhenti dari menguis-nguis bara api dengan ranting kering di tangannya dan terus dicampakkan ke dalam unggun. Suka benar dia melihat ranting-ranting kering itu dibakar api.
              “Ayah, apakah keinginan setiap orang di dunia ini?”
              Tok Tereng memandang ke arah Awang dan ketawa kecil.
              “Awang…Awang. Jawapannya sangat mudah sekali. Makan, minum, tidur, melampiaskan hajat. Dan hidup! Bernafas!”Tok Tereng menjawab mudah.
              “Dan selepas itu?” tanya Awang lagi.
              “Hahaha…tentu saja jawapan yang mudah tidak pernah memuaskan hatimu. Tetapi usahlah kau bimbang kerana ayah pasti ada jawapannya.” Tok Tereng masuk ke dalam rumah dan keluar membawa sebuah buku nota, dibelek-belek dan kemudian dengan nada membaca menjawab pertanyaan Awang.
              “Selepas memuaskan kehendak asas jasadnya, manusia ingin memperbaiki keadaan masing-masing. Manusia bukan saja ingin makan, minum, tidur dan lain-lainnya, tetapi ingin melakukannya dalam keadaan selamat dan selesa. Ya, keinginan manusia yang seterusnya ialah memiliki rumah kediaman. Dan kesihatan. Dan pekerjaan. Dan kepunyaan harta benda. Kemudian mereka inginkan pula keluarga, persahabatan dan kasih sayang.”
              “Masih belum memuaskan hatimu, bukan?”
              “Biar ayah teruskan, mungkin berguna buatmu.” Tok Tereng menyambung ceramahnya. “Selepas itu, manusia inginkan pula pencapaian. Dia inginkan kehormatan. Mungkin kuasa. Atau mungkin hanya keyakinan dan harga diri.”
              “Dan itu juga bukan apa yang kau cari, wahai anakku. Apa yang kau ingin tahu sebenarnya bukan keinginan setiap manusia. Apa yang kau ingin tahu adalah kenapa kau berjalan dan bernafas di atas bumi ini.”
              “Kau bertanyakan ayah tentang maksud hidup!” Tok Tereng menyimpulkan persoalan Awang kepadanya. Muka Awang berseri-seri setelah menyedari Tok Tereng mengerti apa yang bersarang di benaknya. “Jadi, aku pasti ayah ada jawapannya, bukan? Seperti yang ayah nyatakan tadi,” pancing Awang.
              “Maksud hidup manusia berbeza-beza. Tetapi asasnya tetap sama. Iaitu, setiap manusia ingin menjadi yang terbaik dalam apa saja yang diceburinya. Apa yang kau mampu lakukan, kau mesti lakukan. Itulah maksud hidup manusia, pada fikiran ayah.”
              “Menjadi yang terbaik…” Awang mengulang perkataan itu perlahan, lebih kepada bercakap sendiri. Kepalanya mula berputar ligat memikirkan maksud jawapan ringkas itu. Namun dia tidak bergopoh-gapah melontarkan soalan demi soalan yang terhasil setiap saat dalam benaknya kepada Tok Tereng. Setelah bertenang seketika, dia mula mengatur kata. Tok Tereng hanya sabar menunggu. Dia tahu pasti akan ada ledakan persoalan dari Awang hasil dari jawapannya.
              “Ayah pernah ditanya persoalan yang serupa sebelum ini, bukan? Siapa orangnya?”. Soalan Awang diluar dugaan Tok Tereng, namun dia tidak menahan jawapannya. “Abangmu”.
              “Dan ayah tahu apa yang menjadi maksud hidup abang Kel?”
              “Ya, menjadi lebih hebat dari ayah.” Tok Tereng hanya tersenyum menjawab soalan itu. Jawapan yang menjemput soalan. Dia mula sedar bahawa caranya itulah yang telah mempengaruhi Awang dalam tutur bicaranya dengan orang-orang lain. Tutur bicara yang sedaya-upaya tidak mahu memberikan jawapan tepat kepada soalan-soalan yang dianggapnya memerlukan sedikit daya berfikir oleh pihak yang bertanya.
              “Ayah mahukan aku bertanya apakah pencapaian terhebat ayah. Tetapi aku sangsi adakah ayah akan memberitahu aku.” ternyata Awang juga pandai menyusun bicaranya. Bapa borek anaknya rintik. Awang sengaja mahu melihat apakah Tok Tereng sudi mendedahkan kesemua yang disimpannya kepada dia.
              “Suatu hari nanti kau akan tahu juga. Atau aku akan memberitahumu. Atau…”
              “Atau aku boleh bertanya kepada Abang Kel, bukan begitu ayah?”
              “Ayah sangsi apakah dia sanggup berkongsi impiannya denganmu. Hahaha!”
              “Mungkin ya, mungkin tidak. Tetapi aku tahu sesuatu yang penting. Rahsia ayah yang penting! Hehehe…”.
              “Oh tidak! Apakah yang ayah telah terlepas cakap?”
              “Aku telah tahu yang ayah telah mencapai kemuncaknya dalam bidang ayah ceburi. Dan setahu Awang, ayah bergiat dalam kuasa ajaib. Sekiranya ayah mencapai kemuncak kuasa ajaib, pastilah ayah telah kuasai Kitab Sagara dan Kitab Nakara, atau digelar kitab cahaya dan kitab bayangan”
              “Atau juga kitab kebangkitan dan kitab kemusnahan”
              “Walau apa pun, itu adalah rahsia hidup ayah. Seperti yang ayah katakan, kau akan tahu nanti, kerana sudah sikapmu, atau sudah takdirmu.”
              “Awang, apa yang kau tahu tentang kuasa ajaib api?”
              “Ia membakar, tentunya”

Bersambung sebab makin malas nak susun ayat.

No comments:

Post a Comment